Saturday, January 30, 2010

Terlalu awal ramal masa depan MCA

Berikut ini adalah satu rencana di Sinar Harian bertarikh 30 Januari 2010 yang memberi komen terhadap isu-isu dalaman MCA. Banyak soalan tertanya-tanya mengenai peranan MCA dalam BN bukan sahaja oleh ahli-ahli MCA bahkan oleh mereka yang memberi perhatian terhadap perkembangan dalaman MCA. Memang ini satu tempoh yang sedang dilalui oleh ahli-ahli pertubuhan politik ini, satu tempoh yang penuh dengan kegelisahan, ketidak-tentuanan. Dalam politik, mengharapkan pengritik terhadap kita supaya bersimpati, bertoleran adalah sesuatu yang berangan-angan. Tiada sesiapa dalam politik yang mempunyai akal waras akan fikir dan mengharapkan sedemikian! Bagi mereka yang lemah semangat, samada mereka terus hilang dari arena ini atau pun mereka memilih untuk berpaling tadah! Yang berpaling tadah itu sudah tentu menjadi pengritik yang kononnya lebih memahami isu-isu yang mereka pernah alami, bukankah itu alasan yang paling baik bagi mereka mencari sebab-sebab kegagalan mereka sebelum itu!

Komen dibawah ini merupakan satu komen yang seimbang dan adil. Ianya mengambilkira pandangan pros and cons. Baiknya ia dijadikan bahan renungan bersama dalam mencari ilham demi masa depan parti politik ini!


Sinar Harian 30 Januari 2010
Terlalu awal ramal masa depan MCA
Oleh - Markus Lim


“MCA tidak boleh main peranan yang banyak. MCA sukar yakinkan rakyat. Kekuatan parti tersebut dalam memperjuangkan isu-isu nasional amat kurang. Kita tiada peluang menyuarakan pandangan, memberi idea kepada pembuat dasar sebaliknya hanya ikut cakap pimpinan parti sahaja."

Itulah antara isi hati yang diluahkan oleh bekas Timbalan Ketua Wanita MCA, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew ketika diwawancara oleh akhbar Harakah, sebuah penerbitan yang dimiliki oleh Parti Pas baru-baru ini.

Jika anda adalah ahli MCA baik yang lama mahupun yang baru, kenyataan Yee Kew itu sudah tentu mengguris perasaan dan menyakitkan. Namun tiada apa yang lebih pedih dan menyakitkan hati daripada keluhan yang datang dari mulut seorang bekas pemimpin tertinggi MCA sendiri.

Sindiran sinis oleh bekas Timbalan Ketua Wanita MCA itu bahawa MCA sudah tidak relevan dalam BN bukanlah sesuatu yang mengejutkan ataupun trend baru. Malah, sindiran sedemikian merupakan sebahagian daripada lumrah politik partisan di mana-mana negara di dunia. Ia ibarat satu fenomena yang sering kali berlaku pada mana-mana pemimpin politik yang telah berhijrah ke parti lain dengan harapan untuk menarik perhatian bos baru mereka.

Yee Kew yang sudah berkecimpung dalam politik MCA selama 22 tahun, merupakan seorang politikus yang bijak. Dan kenyataan beliau bahawa MCA sudah tidak relevan sebenarnya satu taktik psikologi untuk terus menekan MCA ketika parti itu dalam keadaan lemah dan berkonflik.

Memberikan gambaran yang cukup malap terhadap musuh merupakan 'hallmark' utama parti pembangkang. Apa tidaknya, mereka amat bijak dalam mengeksploitasi permainan persepsi (perception game) hinggakan keadaan yang tidak memihak kepada mereka sekalipun, boleh berpihak kepada mereka pada akhirnya.

Disebabkan mereka tidak mampu menyaingi sumber-sumber kewangan dan jaringan hubungan dengan persatuan-persatuan pedagang, peniaga dan sebagainya, permainan persepsi menjadi senjata utama mereka. Sedihnya, masih ada segelintir pengundi yang enggan membuka mata dan menerima hakikat bahawa peranan MCA dalam memperkasakan kedudukan masyarakat Tionghua di Malaysia adalah tiada tolok bandingnya sebaliknya memilih untuk percaya kepada permainan persepsi pembangkang bulat-bulat.

Mengatakan MCA sudah tidak relevan dalam BN, pada saya, hanyalah satu kenyataan politik bertujuan untuk meraih sokongan masyarakat Tionghua yang membentuk tonggak utama sokongan pada PRU 2008. Mereka perlu mantapkan sokongan pengundi Cina memandangkan sokongan pengundi Melayu dikatakan semakin merosot ekoran kegagalan mereka menguruskan beberapa isu-isu sensitif seperti kalimah Allah, isu kedaulatan raja-raja Melayu dengan baik. Malah, kemerosotan sokongan pengundi-pengundi Melayu ini diakui sendiri oleh mantan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin.

Justeru, masih terlalu awal untuk meramalkan masa depan MCA dalam BN sudah berkubur. Apakah MCA sudah begitu tenat hinggakan keseluruhan jentera parti sudah tidak berfungsi lagi? Jika benarlah struktur parti berkenaan sudah tidak berfungsi, maka mengapa segala prosedur parti yang ditetapkan oleh pucuk kepemimpinan masih berjalan dan berkuat kuasa? Barisan kepemimpinan tertinggi parti masih berupaya menjalankan tanggungjawab mereka seperti sedia kala.

Parti sudah pun mula mengagihkan dana kepada divisyen-divisyen bagi membolehkan mereka menjalankan aktiviti untuk akar-umbi. Ia juga menubuhkan sebuah jawatankuasa bertindak untuk mengkaji mekanisme paling sesuai untuk melaksanakan pemilihan parti secara langsung bagi jawatan Presiden.

Lumpuhnya fungsi MCA dari satu sudut bermakna parti itu sudah hilang kawalan, pemberontakan secara besar-besaran, dan ramai ahli mengambil keputusan untuk meninggalkan parti. Persoalannya, adakah insiden-insiden ini berlaku secara berleluasa dalam parti ketika ini?

Jawapannya ialah tidak. Parti MCA masih berfungsi seperti biasa. Lembaga Presiden dan Jawatankuasa Pusat masih memainkan peranan utamanya dalam menentukan hala tuju parti. Isu pemberontakan dalam parti hanyalah datang dari segelintir pemimpin CC sahaja. 13 daripada 42 anggota CC yang menentang hanyalah merangkumi sebanyak 31 peratus daripada keseluruhan kepemimpinan.

Angka ini tidak boleh dianggap sebagai serius kerana dalam mana-mana parti politik sekalipun, sudah tentu ada suara-suara menentang. Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa kehadiran suara-suara menentang sebenarnya satu petanda sihat kepada demokrasi parti. Bilangan keahlian parti pula masih kukuh iaitu sebanyak 940,000 ahli.

Soalan saya, apakah yang cuba dimaksudkan oleh beliau mengenai ketidakrelevanan MCA? Dari satu sudut, imej MCA mungkin telah menerima tamparan yang cukup teruk pada kemuncak krisis. Namun dari aspek reachability (jangkauan) dan kemampuan MCA dalam membantu masyarakat Tionghua, ia tidak perlu dipertikaikan lagi.

Dalam aspek pendidikan umpamanya, penubuhan Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR) dan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) yang di bawah kendalian MCA telah melahirkan graduan-graduan yang setaraf dengan graduan dari universiti lain. Realitinya ramai daripada pemimpin MCA juga merupakan produk keluaran kedua-dua institusi pendidikan tersohor itu.

Peranan MCA dalam aspek ekonomi juga amat signifikan. Pelbagai tindakan proaktif telah diambil oleh MCA dalam membela nasib golongan penjaja, peniaga, industri kecil dan sederhana (IKS) dan mereka yang memerlukan bantuan. Isu-isu ekonomi penting seperti Good Services Tax (GST), liberalisasi dalam sektor perkhidmatan dan FIC turut mendapat perhatian pemimpin MCA. Biarpun sesetengah isu ini diselesaikan di belakang tabir, komitmen dan tekad mereka untuk membantu membela nasib masyarakat Tionghua dan kaum lain tidak pernah luntur.

Pelbagai komen yang dilontarkan dalam wawancara tersebut agak berat sebelah, lebih cenderung kepada media stunt seolah-olah menggambarkan Pakatan Rakyat begitu sempurna dan tiada cacat celanya walhal ia adalah sebaliknya. Pertentangan ego, personaliti, perbezaan ideologi serta keangkuhan segelintir pemimpin yang pentingkan diri sendiri masih menjadi masalah besar kepada PR seperti yang kita lihat dalam episod membabitkan Zulkifli Noordin dan Khalid Samad.

Dakwaan bahawa amalan politiking dalam MCA amat berleluasa hanyalah satu smoke-screen oleh PR untuk menutup kelemahan mereka. Mana-mana parti politik tidak dapat terlepas daripada amalan politiking. Politiking akan terus wujud selagi ada niat daripada pihak-pihak tertentu untuk mengganggu-gugat ataupun menghalang perjalanan pengurusan parti.

Mengenai dakwaan MCA hanya menjaga hak kaum Cina sahaja, pendapat itu mungkin benar sebelum PRU 12 tetapi era pasca PRU 12 menuntut pendekatan yang berbeza. Keputusan PRU 12 yang menyaksikan MCA kalah teruk merupakan mesej jelas dari pengundi bahawa pendekatan kuno sudah tidak relevan lagi. Mereka mahukan sesuatu yang baru. Menyedari hakikat pahit itu, barisan kepemimpinan yang dipilih pada Oktober 2008 tampil dengan pembaharuan radikal.

Bahkan, Presiden Parti pernah menyatakan perjuangan MCA selepas ini haruslah berpaksikan perjuangan kepada semua kaum. Dalam melangkah kepada perjuangan pelbagai kaum, itu tidak bererti MCA akan meninggalkan perjuangan membela nasib kaum Tionghua. Sebaik-baik dalam apa perjuangan politik, perlu ada titik keseimbangan.

Kesukaran MCA untuk meyakinkan pengundi akan terus melarat sekiranya kepemimpinan parti dan ahlinya masih bersikap acuh tak acuh serta tiada kesungguhan untuk berubah. Ia akan terus menghantui MCA selagi parti berusia 60 tahun itu mengambil pendekatan sindrom penafian. Pengundi ibarat ‘pelanggan’ penting parti-parti politik yang perlu diyakinkan. Jika produk-produk yang dikeluarkan oleh MCA bagus lagi berkualiti, sudah tentu ia akan dapat sambutan.

Apapun, sindiran sinis Yee Kew dalam wawancara bersama Harakah tidak harus dilihat dari sudut yang negatif. Sebaliknya, komen-komen negatif itu boleh dijadikan sebagai penyuntik semangat kepada pemimpin dan ahli parti untuk berusaha dengan lebih keras memperbaiki diri serta parti.

Berpandukan kepada hujah-hujah tadi, MCA akan terus relevan selagi ia mempunyai keinginan untuk berubah seiring dengan keperluan semasa. MCA hanya akan berkubur sekiranya pemimpin dan ahli parti memilih untuk memilih jalan yang silap.

* PENULIS merupakan bekas wartawan di sebuah akhbar perdana. Kini sebagai pemerhati politik. Segala luahan di sini adalah pandangan peribadi penulis semata-mata.

No comments: