3/6/2009:Hari ini saya pergi ke Kg Sanggang dua kali, kali pertama pada sebelah pagi jam 10.00 pagi kerana menghadiri majlis ramah mesra bersama rombongan Persatuan Gerontologi Malaysia ke Kg Sanggang dan kali kedua pada jam 5.00 ptg untuk menghadiri satu majlis perjumpaan dengan orang kampung, khususnya ahli-ahli Cawangan Umno Kg Sanggang.
Lawatan seperti ini biasa bagi saya kerana perjalanan dari Bandar Mentakab ke Kg Sanggang hanya 20 minit.
Rombongan Persatuan Gerontologi Malaysia yang diketuai oleh Presidennya, YBhg Dato Dr Mohd Ghazali Abdul Ghaib dan barisan EXCOnya mengadakan lawatan ramah mesra dengan Kelab Warga Mas Kg Sanggang. Mereka mengadakan senamrobik bersama di depan dewan Kampung Sanggang. Seramai 80 orang peserta dari rombongan tersebut telah hadir dalam aktiviti tersebut. Terdapat juga 70 leih orang peserta dari Kelab Warga Mas juga mengambil bahagian dalam program ini.
Adalah menjadi harapan bahawa apabila kita capai umur yang boleh digelar warga mas, kita dapat menjaga kesihatan diri kita kerana kesihatanlah yang menjadi asset yang penting sekali.
Adalah juga menjadi harapan bahawa kita menjaga kesihatan ahli keluarga masing-maisng supaya ianya tidak menjadi beban kepada sama ada keluarga kita sendiri ataupun masyarakat secara umum.
Hendaklah sentiasa menjaga makanan dan minuman harian dan mempunyai kesedaran terhadap apa yang kita makan/minum.
Disebelah petang pula saya hadir untuk majlis perjumpaan dengan orang kampung dan khusunya ahli Cawangan Umno yang diadakan di rumah Ketua Cawangan Sdr Md Piah, turut hadir bersama ialah ahli jawatankuasa Umno, Pemuda dan Wanita. Memang tujuan utama saya hadir dalam majlis ini ialah mendengar dan mendapat maklum balas mengenai pandangan dan fikiran orang kampung tentang perlantikan ketua kampung yang bakal dilantik nanti. Dalam catitan saya, terdapat 10 orang penduduk telah menyatakan hasrat mereka tentang berbagai isu yang memerlukan perhatian dan tindakan saya, termasuk calon Ketua Kampung yang bakal dilantik.
Antara hujah seorang penduduk yang memberi pandangan mengenai tok 4 yang bakal dilantik itu, beliau menyatakan beliau akan menyokong siapa saja yang bakal dilantik, sama ada calon itu baik atau tak baik. Sikapnya memang betul, memberi sokongan dan kerjasama kepada pemimpin. Sebenarnya bukan isu calon baik atau tak baik, apabila seseorang calon itu tak dapat dilantik, tidak bermaksud ianya tidak baik, begitu juga sebaliknya.
Memang saya dapat menilai dan rasa kehendak para hadirin di situ. Saya dapat rasa bahawa majoriti yang hadir mahukan perubahan. Saya diberitahu kehadiran semasa AGM parti ialah 80+ orang, sedangkan kehadiran dalam majlis ini melebihi 120+ orang. Saya juga difahamkan yang hadir bersama dalam majlis tersebut terdapat juga mereka yang terdiri daripada yang bukan ahli Umno. Sebagai seorang wakil rakyat, suka tak suka kita kena buat keputusan. Saya mengakui keputusan itu kadang-kadang ianya dirasa pahit bagi seseorang atau sekumpulan orang, dan kemungkinan hilang sokongan seseorang atau sekumpulan orang itu.
Walau bagaimanapun, seperti yang dikatakan oleh salah seorang yang mengemukakan pandangan dalam majlis itu, pemimpin datang dan pergi, termasuklah kita sebagai pemimpin dan wakil rakyat!
Keadaan sedemikian terpaksa dihadapi oleh orang politik.
No comments:
Post a Comment